Ini adalah pesanan dari pemilik blog. Sila JANGAN COPY, AMBIL atau TIRU sebarang entry yang telah di masukkan. Ianya adalah HAK MILIK KEYLA ALI!! Kecuali apabila di nyatakan. Maka, jadilah orang yang AMANAH dan BERTANGGUNGJAWAB. Segala kerjasama yang anda berikan, amat saya hargai. TERIMA KASIH dan SELAMAT MEMBACA. SUDAH BACA SILALAH COMMENT(S).

Wednesday 24 April 2013

MR. TRAFFIC LIGHT - BAB 8

Naz  melangkah  ke  dalam  bangunan  setinggi  lima belas  tingkat  itu.  Pergerakkannya pantas  dan  penuh  bersemangat.  Ruang  lobi  pejabat  diperhati  lama.  Dia  berpeluk  tubuh.  ‘Agak-agak  kalau  main  lari-lari  dalam  bangunan ini,  boleh  tersesat  tak  aku?’  Dagunya  di  ketuk  dengan  hujung  jari  telunjuk.

“Ting!”  Naz  menoleh  ke  arah  pintu  lif  yang  sudah  terbuka  luas.  Dia  bergegas  berlari  ke  arah  lif.  Kebetulan,  seorang  lelaki  yang  baru  sahaja  melepasi  pintu  lif  itu  ditegurnya. Naz  berteriak,   “Tunggu  saya!”  Mujur  sahaja  dia  sempat  menahan.  Nafasnya  di  tarik  dalam-dalam  sebelum  memasuki  perut  lif.

Naz  menjeling  sekilas  ke  arah  lelaki  itu.  “Terima  kasih.”  Bibirnya  digigit.  Lelaki  itu  masih  seperti  tadi  tidak  sedikit  pun  bergerak  mahupun  memandangnya.  Naz  menepuk  bahu  lelaki  itu.  “Awak,  terima  kasih.”  Lelaki  itu  merengus  perlahan.  ‘Perempuan  ini  mahu  mengorat  aku  ke?  Ingat  aku  pekak?’  Bisiknya  di  dalam  hati.  Dia  mengukir  senyuman  sinis.  Sambil  memandang  Naz,  dia  berkata,  “Ye  cik,  saya  dengar.”

Naz  mengangguk  sebelum  mengangkat  mukanya.  Matanya  terbeliak  besar  apabila  memandang  seraut  wajah  di  hadapannya.  Jari  telunjuknya  tepat  pada  muka  lelaki  itu.  “Kau!!”  Suaranya  bergema  di  dalam  lif  itu.  Riak  muka  Amirul  berubah  pucat.  Mukanya  dipalingkan  ke  atas.  Kakinya  dihentak  perlahan  tidak  berbunyi.  ‘Cepatlah  terbuka  wahai  pintu  lif.’

Naz  menghampiri  Amirul.  Mukanya  berkerut.  Dia  menyedut  udara  perlahan.  Dadanya  diusap  perlahan.  “Apa  kau  buat  dekat  sini?”  Keningnya  terjongket  sedikit.  Matanya  galak  menilik  setiap  inci  muka  lelaki  itu.  Amirul  memandangnya  sekejap.  Mata  buntar  perempuan  itu  tidak  berani  ditatap.  Naz  menyambung,  “Mengapa  kau  ekori  aku?”

Amirul  membesarkan  matanya.  Dia  bercekak  pinggang.  “Saudari,  tolong  jangan  perasan  boleh?  Saya  yang  sepatutnya  bertanya  soalan  itu.”  Dia  berpaling  sebaik  sahaja  habis  berkata-kata.  ‘Dia  yang  ekori  kita,  mahu  kata  kita  pula  yang  ekori  dia.’  Getusnya.  Amirul  menyambung  semula.  “Aku  kerja  dekat  sini.  Apa  pula  yang  kau  buat  di  sini?  Setahu  aku,  pejabat  ini  tiada  pekerja  seperti  kau.”

Naz  menyepak  kaki  Amirul.  “Mulut  kau  memang  tak  bayar  cukai  ke?”  Amirul  menggosok-gosok  buku  lalinya.  ‘Perit  gila!’  Pintu  lif  terbuka  sebaik  sahaja  tiba  di  tingkat  sepuluh.  Naz  laju  berjalan  keluar.  Langkah  kakinya  panjang  dan  deras.  Tangannya  digenggam  kuat.

Naz  menarik  nafas  panjang  sebelum  melangkah  masuk  ke  dalam  pejabat  A2M  Production.  Hari  ini  dia  perlu  menghadiri  temu  duga  bersama  pentadbir-pentadbir  di  syarikat  ini.  Naz  menghampiri  kaunter  berhampiran.  “Assalamualaikum.”  Penyambut  tetamu  yang  bernama  Suria  itu  membalas  senyumannya.  Mereka  berjabat  tangan.

“Ada  apa-apa  yang  boleh  saya  bantu,  cik?”

Naz  mengangguk  kecil.  “Saya,  Ashiya  Nazratul.”  Naz  menyerahkan  sekeping  sampul  surat  kepada  wanita  itu.  “Saya  ada  temu  duga  hari  ini.”

Sampul  bertukar  tangan.  Suria  menilik  sebentar  surat  yang  di  terimanya.  “Tunggu  sebentar  ya  cik.”  Suria  kembali  ke  tempat  duduknya.  Dia  bercakap-cakap  sebentar  di  telefon.  Naz  memerhati  sekelilingnya.  Suasana  pejabat  yang  damai  dan  pekerja  yang  sangat  peramah  membuatkan  Naz  tertarik  dengan  keadaan  itu.

Suria  menegur  Naz  yang  sedang  asyik  melihat  dekorasi  pejabat  itu.  “Cik  Ashiya.”  Naz  menoleh.  “Cik  Ashiya  boleh  ikut  saya  ke  dalam  sekarang.”  Naz  mengangguk  dan  membuntuti  Suria.

“Sudah  lamakah  awak  bekerja  di  sini?”

“Sejak  syarikat  ini  ditubuhkan.”

Naz  mengangguk.  “Bila  syarikat  ini  ditubuhkan?”

Suria  tersenyum.  “Baru  sahaja  lagi.  Dalam  tahun  2009  kalau  saya  tidak  salah.  Masa  itulah  K-pop  baru  hendak  berleluasa.”

Naz  menjuih  bibir.  “Betul  jugakan.  Awak  pun  minat  k-pop  ke?”

“Tidaklah.  Saya  bekerja  di  sini  pun  sebab  kebetulan  masa  itu  saya  tamat  belajar.  Mungkin  sudah  rezeki  saya.”

“Bos  garang  tak?”

“Bos  kita  baik.  Dia  bukan  jenis  yang  suka-suka  mahu  memarahi  orang  tetapi  jika  sudah  memang  terbukti  kita  bersalah,  sesiapa  pun  akan  marah.  Sebenarnya,  bos  kita  bukannya  minat  sangat  dengan  K-pop.”

Dahi  Naz  berkerut.  “Tak  minat?”  Suria  mengangguk  laju.  “Nantilah  saya  cerita.  Sekarang  awak  masuk  dahulu.  Dalam  lima  minit  lagi  mereka  akan  masuk.”

“Berapa  orang  yang  akan  interview  saya  nanti?”

Suria  menyemak  sebuah  fail  di  tangannya.  “Mungkin  tiga  orang.”

Air  muka  Naz  berubah  sedikit.  Suria  tergelak  kecil  apabila  melihat  perubahan  pada  muka  Naz.  Dia  menepuk-nepuk  bahu  Naz  perlahan.  “Awak  jangan  risau.  Bos  besar  mungkin  tidak  menggemari  K-pop  tetapi  lagi  dua  orang  bos  itu,  gila  K-pop.  Awak  umpan  sahaja  mereka  dengan  cerita-cerita  K-pop  yang  awak  tahu.”

Naz  tersengih.  “Macam  mana  awak  tahu  saya  minat  K-pop?”

Suria  tersenyum-senyum  melihat  aksi  Naz.  “Kalau  awak  tidak  minat,  masakan  awak  mahu  menjadi  juru  gambar  di  syarikat  ini.  Awak  lupakah  ini  syarikat  yang  mengeluarkan  majalah  mengenai  K-pop?”

Naz  menepuk  dahinya  kuat.  “Maaflah  saya  takut  sangat  sehingga  terlupa.”

“Tidak  mengapa.  Baiklah  saya  perlu  ke  meja  semula.  Good  luck  untuk  awak.”

Naz  menunduk  sedikit.  “Terima  kasih.”  Setelah  itu  Naz  melangkah  masuk  ke  bilik  mesyuarat  itu.  Kamera  yang  dibawanya  diletakkan  di  atas  meja.  Dia  sangat  berterima  kasih  kepada  Ammar  kerana  memberinya  kamera  itu.

Pintu  bilik  di  ketuk  dari  luar.  Seorang  lelaki  yang  berbadan  tegap  dan  seorang  wanita  yang  agak  muda  dan  tinggi  melangkah  masuk  penuh  bergaya.  Pakaian  yang  tersarung  di  badan  mereka  sangat  up-to-date.  Naz  ternganga  mulut  melihat  keindahan  ciptaan  Tuhan.  ‘Ini  fesyen  show  ke  sesi  temu  duga?’  Bisik  hatinya.

Lelaki  yang  bertubuh  tegap  itu  bersuara.  “Saya  tahu  awak  teruja  dengan  kekacakan  yang  saya  miliki  tetapi  sila  jangan  terlalu  menunjuk.  Tutup  mulut  awak.”  Sepantas  kilat  Naz  menekup  mulutnya  dengan  tangan.  Muka  Naz  berubah  merah  apabila  ditegur  begitu.  “Maafkan  saya.”

Wanita  yang  sedari  tadi  diam  tidak  bersuara  itu  menegur  rakannya.  “Wahai  Encik  Fikri,  tolong  jangan  terlalu  perasan.”  Dia  kembali  memandang  Naz  di  hadapan.  “Maafkan  saya  atas  keterlanjuran  kata-kata  dari  rakan  saya  ini.”

Naz  menggeleng  laju.  Lelaki  yang  bernama  Fikri  itu  menyiku  rakannya.  “Aku  bukannya  mahu  perasan  tetapi  itulah  hakikat  yang  kau  tidak  boleh  terima.”  Naz  semakin  tercengang  melihat  gelagat  mereka.  Hatinya  berkata,  ‘Aku  salah  pilih  kerjalah  aku  rasa.’  Matanya  tidak  lekang  memandang  mereka  yang  masih  lagi  bertekak.

Naz  mengetuk  meja  perlahan.  “Cik...”  Jari  telunjuknya  mengarah  ke  wanita  itu.  Dia  menghulurkan  tangan.  “Saya  Fazrina.”  Naz  mengangguk  dan  menyambut  huluran  tangannya.  “Cik  Fazrina,  bila  kita  boleh  mulakan  temu  duga  ini?”

Fazrina  mengerut  dahinya.  ‘Siapa  yang  mahu  interview  siapa?’  Naz  perasan  akan  perubahan  di  muka  Fazrina  lantas  bersuara.  “Maaf.  Saya  cuma  tidak  mahu  membuang  masa  sesiapa.”  Fazrina  mengangguk  beberapa  kali.

Sedang  mereka  berbual-bual,  tiba-tiba  pintu  bilik  di  tolak  dari  luar.  Seorang  lelaki  tinggi  dan  berkot  biru  dan  berseluar  putih  melangkah  masuk.  Naz  menelan  air  liur.  Matanya  tepat  ke  arah  lelaki  itu.  ‘Macam  pernah  nampak  sahaja  lelaki  ini.  Di  mananya  aku  nampaknya  tadi?’  Naz  menggaru-garu  kepala.

Amirul  memandang  Naz  tepat  ke  muka.  Matanya  membuntang.  Dahi  Naz  berkerut  seribu.  “Kau?!!”  Serentak  mereka  bersuara.  Fazrina  dan  Fikri  tersentak.  Mereka  lantas  berdiri.  Fazrina  berlari  kecil  ke  arah  Naz.  Fikri  menghampirinya.  “Mirul,  kau  kenal  ke  siapa  dia?”  Dia  menghempas  file  yang  dipegang  ke  atas  meja.

Amirul  tersenyum  sinis  sambil  menarik  kerusi.  “Kau  yang  perlu  aku  interview?”

Naz  mencebik.  “Kalau  aku  tahu  kau  bekerja  di  sini,  tak  ada  maknanya  aku  nak  minta  kerja  di  sini.”

“Really?”  Amirul  mengangkat  sebelah  keningnya.  “Sekarang  kau  sudah  tahu  jadi  silakan  keluar.  Aku  tidak  memaksa  tetapi  itu  yang  kau  katakan.”

Naz  menggigit  bibirnya.  ‘Alamak!  Mulut  tak  reti  nak  cover  langsung.’  Naz  menampar  mulutnya.  Naz  memandang  Fazrina.  Isyarat  tangan  di  beri  supaya  Fazrina  membantunya.  Fazrina  menjongkit  bahunya.  Naz  menjuih  bibir.  Dia  menarik  nafas  panjang.  “Maaflah  bos.  Macam  inilah,  kita  lupakan  dahulu  hal  yang  berlaku  diluar.”

Amirul  ketawa  kecil.  “Lupakan?”  Naz  mengangguk.  “Kenapa  pula  aku  perlu  mendengar  kata  kau?”  Naz  menunduk.

Fazrina  bersuara  setelah  lama  memerhatikan  mereka.  “Mirul,  aku  tidak  tahulah  apa  masalah  kau  dengan  dia  dekat  luar  tetapi  apa  kata  kalau  kita  selesaikan  sahulu  yang  di  dalam  ini?  Please  be  professional.”

Naz  mengangguk  laju.  “Lagipun,  kau  yang  bersalah.”

Amirul  memandang  Naz  tajam.  Suaranya  sengaja  ditinggikan.  “Siapa  benarkan  kau  menyampuk?”  Naz  menunduk  semula.  Dia  bermain   dengan  jarinya.  Amirul  tersenyum  puas.

Selesai  sesi  temu  duga,  Naz  melangkah  longlai  keluar  dari  bilik  mesyuarat  itu.  Mukanya  berubah  muram  sebaik  sahaja  melepasi  zon  temu  duga  itu.  Sampul  di  tangannya  digenggam  kuat.  Dia  mengetap  gigi.  Sesekali  dia  menggigit-gigit  hujung  sampul  itu.

Naz  menoleh  kebelakangnya  semula.  Dari  luar  dia  melihat  Amirul  tersenyum  kemenangan  memandangnya.  Giginya  yang  putih  ditayang  seperti  iklan  ubat  gigi.  “Kau  ingat  gigi  kau  cantik  sangat?”  Naz  merengus  perlahan.

Naz  menekup  telinganya.  “Saya  ada  tugasan  untuk  awak  sebelum  awak  di  terima  masuk  ke  dalam  syarikat  ini.”  Amirul  menolak  sekeping  sampul  surat  putih  ke  hadapan  Naz.  Fazrina  dan  Fikri  mengerut  dahi.  Mereka  berbisik  sesama  sendiri.

“Sejak  bila  ada  tugasan  sebelum  di  terima  masuk?”

Fazrina  menjungkit  bahu.  “Sawan  agaknya  kawan  kau.”  Mereka  berdua  tergelak  kecil.  Fikri  mengomen,  “Kau  tak  baik  mengata  kawan  sendiri.”  Fazrina  menjeling  Fikri  dari  ekor  mata.  “Kau  yang  gelak  lebih  bukan  aku.”

Amirul  mengeluh  kecil  sebelum  berpusing  ke  arah  rakan-rakannya.  “Aku  boleh  dengar  apa  yang  kau  orang  cakap.  Lain  kali,  kalau  nak  mengumpat  perlahan-lahan  sedikit.  Ini  macam  nak  bagi  satu  pejabat  dengar.”

Fikri  menggigit  hujung  lidahnya.  “Mirul,  sejak  bila  ada  tugasan  macam  ini?  Aku  tidak  pernah  tahu  pun.”

Sambil  menyandar,  Amirul  tenang  berkata,  “Aku  baru  mulakannya  hari  ini.”

Fazrina  berteriak,  “Yah!!  Kau  ingat  budak  ini  bahan  uji  kaji  apa?”

Fikri  menyokong,  “Ha’ah.  Sudahlah  buat  keputusan  tidak  berbincang  dengan  kami.”

Amirul  masih  bersandar  dan  menyelimpangkan  kakinya.  Dia  mengeluarkan  telefon  pintarnya.  Aplikasi  permainan  di  dalam  telefonnya  di  buka.  Seluruh  isi  bilik  mesyuarat  bising  dengan  muzik  dari  aplikasi  permainannya.  Fikri  mengetap  bibir.  Tangannya  digenggam  kuat.

Dia  lantas  bangun  dan  merampas  telefon  pintar  dari  tangan  Amirul.  “Sebelum  aku  buang  telefon  mahal  kau,  lebih  baik  kau  explain  dekat  kami.”

“Explain  apa  lagi.”  Amirul  mengambil  semula  sampul  yang  di  tolaknya  tadi  dan  mengeluarkan  isi  di  dalamnya.  “Ashiya  Nazratul,  itu  tugasan  pertama  awak.  Sila  baca  dan  siapkan  tugasan  ini  sebelum  hari  Khamis.”

Naz  merampas  semula  kertas  dan  sampul  yang  dipegangnya.  “Baiklah  bos.  Terima  kasih!”  Naz  bersuara  sinis.

Amirul  tersenyum.  “Sama-sama.”  Dia  memandang  Fikri  semula.  “Settle.”  Telefon  pintar  di  tangan  Fikri  di  ambil.  “Ini  aku  punya.”

Fikri  tercengang.  Kepala  Amirul  di  tolak  perlahan.  “Tidak  guna  punya  bos.”

Naz  tersedar  dari  angan  yang  panjang  apabila  pintu  di  buka.  Fikri  keluar  dari  bilik  itu.  “Maaf  bos.”  Fikri  menghadiahkannya  senyuman.  “Tidak  mengapa.  Sepatutnya  kami  yang  meminta  maaf.”

Naz  mengangguk  perlahan.  Fikri  berlalu  ke  biliknya  tetapi  dia  kembali  menghampiri  Naz  dan  berkata,  “Awak  boleh  buat  ke  tugasan  itu?”

Naz  mengangkat  sampul  di  tangannya.  “Kacang  sahaja  bos.”

“Awak  sudah  baca  tugasan  yang  perlu  awak  siapkan?”  Naz  menggeleng  laju.  “Saya  rasa  lebih  baik  awak  baca  dahulu  sebelum  yakin  awak  boleh  lakukannya.”

Dahi  Naz  berkerut.  “Kenapa  pula?”

Fikri  mengekek  ketawa.  Sebelum  dia  berlalu,  sempat  dia  memesan,  “Selamat  bekerja  Naz!”

Naz  menggaru  kepala.  Kertas  di  dalam  sampul  di  ambil.  Sehelai  demi  sehelai  di  bacanya.  Beberapa  keping  gambar  menjadi  tatapannya.  Dari  mencangkung,  Naz  berdiri  semula.  Dia  memandang  ke  dalam  bilik  mesyuarat  semula.  Genggaman  tangan  kecilnya  di  hala  ke  arah  Amirul.

Naz  menjerit  kuat.  “Bos!!!”  Amirul  di  dalam  sudah  mengekek  ketawa.  Naz  melompat  dan  menghentak-hentak  kakinya  di  depan  pintu  itu.  “I  hate  you,  Amirul  Syafwan!!!”

No comments:

Post a Comment